|
Wednesday, 08 February 2012 |
|
|
Juruterbang gagah membelah awan - Berita Harian |
Juruterbang gagah membelah awan
Oleh Betty Subaryati

MENAKLUK awam biru sering kali menjadi antara
cita-cita yang diidamkan. Bagi anak gadis, baju kebaya cantik yang
disarung pramugari menjadi impian manakala anak teruna pula, lebih
teruja dengan kerjaya sebagai juruterbang.
Bukan saja pakaian kemas yang kelihatan amat segak bila dikenakan,
cabaran, imej, gaji (purata RM5,000 hingga RM25,000) dan pulangan
lumayan pastinya menjadi tarikan.
Namun, bukan semua yang bernasib baik dapat menjalani latihan
penerbangan dan bergelar juruterbang. Kelayakan akademik yang baik,
satu caturan dan paling utama, yuran pengajiannya amat mahal sesuai
dengan tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul seorang juruterbang.
Beratus, beribu, malahan puluhan ribu nyawa `di tangan’. Sebarang
kesilapan dan ketidakupayaan menangani sebarang masalah ketika terbang
laju di udara akan membawa 1,001 keburukan.
Kerana itu juga, latihan yang perlu dijalani sebelum bergelar
juruterbang amat mencabar keupayaan dan ketahanan mental serta fizikal.
Bagi yang berminat bergelar juruterbang, Asia Pacific Flight Training (APFT) adalah lokasi tepat mengejar cita-cita.
Bertempat di Pengkalan Chepa, Kelantan, sekolah latihan juruterbang
bertaraf dunia ini menyediakan kursus berkenaan dengan didokongi 14
jurulatih berpengalaman dan berkemahiran tinggi.
Pengurus Besar merangkap Pengetua APFT, Mejar (B) Mohd Khalid Ali, 56,
yang berpengalaman luas dalam pengurusan operasi, penerbangan korporat
dan memiliki lesen Juruterbang Pengangkut Udara (ATPL), berkata bukan
mudah menjadi juruterbang.
“Banyak ujian, halangan dan cabaran yang perlu dilalui. Saya sendiri
mengikuti kursus jurulatih di Royal Air Force College Shawbury, United
Kingdom dan kursus keselamatan penerbangan dengan UCLA, California,
selain kursus pengurusan penerbangan di RAF College Cranwell dan
Weybridge, London, United Kingdom.
“Namun, setiap pelatih di sini mempunyai jaminan kerjaya sebagai
juruterbang bertaraf antarabangsa sama ada dengan Penerbangan Malaysia
(MAS) atau syarikat penerbangan lain di dunia,” katanya yang
menguruskan 65 bakal juruterbang ketika ini.
Bakal juruterbang, Abdul Rahman Abdul Malik, 20, anak kelahiran
Sarawak, amat bertuah kerana cita-citanya untuk menjadi juruterbang
bakal menjadi kenyataan.
Dia yang dulunya mengikuti pengajian A Level di New Zealand mengambil
keputusan beralih haluan dan mengejar cita-cita yang ditanam sedari
kecil.
Lebih bertuah apabila hasrat Abdul Rahman menjadi juruterbang disokong
penuh keluarga yang bersedia membiayai pengajiannya di sebuah sekolah
latihan juruterbang bertaraf dunia, Asia Pacific Flight Training
(APFT), di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Anak bongsu daripada lima beradik, Ahmad Syamil Othman, 19, juga amat
bertuah kerana cita-cita menjadi juruterbang mendapat sokongan keluarga.
Lulusan jurusan sains komputer kolej swasta itu mengakui kerjaya
juruterbang bukan mudah. Latihannya juga sudah cukup menguji.
Pengalaman pertama membuat pusingan tajam pada ketinggian lebih 2000
kaki dengan pesawat satu enjin ketika latihan memang mengerikan namun
ia bukan halangan baginya untuk menggapai cita-cita.
“Alah bisa tegal biasa. Saya sukakan kerjaya ini dan pasti akan
bergelar juruterbang satu hari nanti. Saya tidak akan sia-siakan
pengorbanan keluarga yang sanggup membiayai pengajian di APFT,” katanya
yang berasal dari Kuala Lumpur.
Pelatih APFT yang dibiayai Penerbangan Malaysia (MAS), Mohd Ridhzuan
Sapri, 25, dari Sabah, berkata dia memohon menjadi juruterbang kerana
minat yang mendalam.
"Meskipun mampu mendapatkan pekerjaan selesa dengan ijazah daripada
Universiti Multimedia yang saya miliki, saya tetap memilih juruterbang
sebagai kerjaya kerana beranggapan ia kerjaya yang amat mencabar,”
katanya.
Bekas pelajar Kolej Damansara Utama Kuala Lumpur, Ashwin Ganapathy, 19,
berkata keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) lalu melayakkan dia mendapat biasiswa kerajaan bagi
mengikuti pengajian di situ.
FAKTA: Latihan penerbangan di APFT
- Pelatih dikenakan yuran pengajian
RM190,000 merangkumi semua kelengkapan sepanjang pembelajaran, termasuk
yuran semester, pakaian, tempat tinggal dan makanan di samping buku
rujukan.
- Pelatih didedahkan kepada
lima subjek asas memandu pesawat bagi memastikan mereka melepasi
beberapa peperiksaan sukar sebelum layak mendapat lesen juruterbang
yang diiktiraf Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
- Antara mata pelajaran itu adalah
meteorologi dan navigation, yang menjadi nadi penting juruterbang,
selain mempelajari kemahiran mengendali set perhubungan.
- Sepanjang 15 bulan pengajian dengan 165
jam latihan memandu pesawat satu enjin dan 35 jam mengendali pesawat
dua enjin, pelatih perlu membuktikan mereka mampu menjadi juruterbang
yang cekap dan berdisiplin.
- Setiap pelatih dikehendaki menghabiskan
tempoh pengajian dengan sekurang-kurangnya 42 jam hingga 45 jam latihan
penerbangan sebelum layak mendapatkan Lesen Juruterbang Persendirian
(PPL) yang dikeluarkan DCA.
SOURCE: Berita Harian
|
|
|
|
|